Sunday, September 2, 2007

SEJARAH SEKOLAH


Institusi Infant Jesus Sisters telah ditubuhkan di Perancis oleh seorang paderi bernama Father Nicholas Barre Minim, pada tahun 1662. Kanak-kanak miskin zaman itu tidak berpeluang untuk belajar. Beliau berhasrat menubuhkan institusi pendidikan bagi kanak-kanak perempuan. Dengan kerjasama mubaligh-mubaligh yang dikenali sebagai "Charitable Mistresses" beliau berjaya menubuhkan sekolah yang pertama di Setterville-Rollen. Ia menjadi detik permulaan bagi sekolah-sekolah Convent Holy Infant Jesus. Kanak-kanak di sekolah ini dididik menjalankan tugas dengan jujur, tabah, dan tegas. Dari kebiasaan ini lahirlah cogankata yang terdapat pada lencana sekolah-sekolah Convent Infant Jesus, iaitu Suci Dan Tabah Dalam Tugas – "Simple In Virtue, Strong In Duty" yang kekal sehingga ke hari ini.

Dalam tahun 1851 Bishop Bouchot, "Vicar Apostalic" di Malaya telah merayu kepada "Charitable Mistresses" meminta kerjasama untuk mendirikan sekolah-sekolah mubaligh.Walaupun terdapat berbagai rintangan, kumpulan mubaligh pertama dengan diketuai oleh Reverend Mother De Fandoas, telah menaiki kapal layar dari Anvers, Perancis belayar ke Pulau Pinang melalui Cape of Good Hope. Malangnya Mother De Fandoas meninggal dunia di dalam pelayaran yang memakan masa lima bulan. Walaupun begitu, penguasa di Paris telah menghantar satu lagi rombongan di bawah Reverend Mother Mathilde Raclot ke Singapura pada tahun 1854.Beliau besama-sama Mother Appollinaire dan Sister Gregory Connelly telah meletakkan batu asas Convent Holy Infant Jesus di sebuah kedai runcit China di Bandar Hilir, Melaka pada tahun 1860. Sekolah dibuka dengan bilangan murid seramai 15 orang. Mereka telah menggunakan kotak-kotak sebagai kerusi dan meja. Keadaan menjadi buruk apabila kesihatan mereka terganggu lalu sekolah ini pun terpaksa ditutup pada 1867.

Atas desakan penduduk-penduduk di Melaka, paderi-paderi telah membuat satu rayuan ke Singapura.Berikutan dengan itu, empat orang mubaligh iaitu Reverend mother St. Anselm, Sister St. Anais, Sister St. Bernard dan Sister St. Getrude telah tiba di Melaka dalam tahun 1875. Mereka telah diberi sebuah hospital tentera oleh pihak kerajaan yang terletak di kaki Bukit St. Paul untuk membuka semula sekolah tersebut. Lady Clarke telah menyumbangkan alat-alat kelengkapan sekolah. Selepas 4–5 minggu, bilangan murid yang didaftarkan berjumlah 29 orang. Dengan bantuan Father Maximillian De Souza, Reverend Mother St. Marcienne berjaya membeli tanah di mana terletaknya kedai runcit yang pernah digunakan sebagai kelas.

Di atas tanah inilah di Bandar Hilir, sebuah bangunan sekolah didirikan. Cawangannya telah dibuka di Jalan Tengkera pada awal tahun 1884 tetapi dipindahkan ke 142 Jalan Heeren (Tun Tan Cheng Lock) pada tahun 1905. Cawangan ini juga ditutup dalam tahun 1917, dan murid-murid dipindahkan ke sekolah pusat di Bandar Hilir. Di awal kurun ke 20 murid-murid lelaki juga diterima belajar di sekolah ini.Beberapa tahun kemudian murid-murid lelaki ditempatkan di sekolah St. Francis Institution dan sekolah ini dijadikan sekolah khas untuk murid-murid perempuan sahaja mula dari tahun 1926.

Bilangan murid terus meningkat, oleh itu darjah-darjah atap dirobohkan dan darjah-darjah konkrit dan sebuah dewan dibina dalam tahun 1932 oleh Reverend Mother John the Baptist.Dalam tahun 1938, beliau menambah sebuah kantin. Pada tahun 1939, jumlah murid telah meningkat ke 690 orang. Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Jepun telah mengambilalih sekolah dan bahasa Jepun diajar. Selepas Perang, keadaan pulih seperti sediakala. Dalam tahun 1946, bilangan murid ialah 711 orang dan dalam tahun 1950, beberapa buah bilik asrama dan sebuah bilik bacaan telah ditutup dan dijadikan bilik makmal Sains dan bilik Sains Rumahtangga.

Pada tahun 1952,Reverend Mother Martha membina Sekolah Menengah Convent Holy Infant Jesus dihadapan Sekolah Rendah dan sekolah ini berpisah menjadi Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Cik Lim Guat Choo menjadi Guru Besar pertama yang bukan seorang mubaligh di Sekolah Rendah pada tahun 1957. Enam buah kelas dibina di atas tapak makmal Sains dan bilik Sains Rumahtangga menjadi bilik Perpustakaan. Dengan bertambahnya murid dari setahun ke setahun, sekolah ini terpaksa dibesarkan. Dalam tahun 1964, terdapat dua buah sekolah rendah – Sekolah I dan Sekolah II. Cik Lim meneruskan tugasnya sebagai Guru Besar Sekolah Holy Infant Jesus I sehingga pesaraannya dalam tahun 1966.


SENARAI GURU BESAR TAHUN

Mother Mathilde 1860

Mother Leonard 1861 - 1867

Mother Anslem 1875 - 1879

Mother Marcienne 1879 - 1899

Mother Helen 1899 - 1905

Mother Marie 1905 - 1906

Mother Clothilde 1907 - 1920

Mother John the Baptist 1920 - 1942

Mother Etienne 1943 - 1946

Mother Martha 1946 - 1955

Mother Xavier 1955 – 1957

Cik Lim Guat Choo 1957 - 1966

Puan Tan Kwi Teng 1967 - 1979

Cik Eileen Chua 1979 - 1984

Puan Lucy Heng 1984 - 1988

Sister Benedict Ng 1988

Puan Shirley Sim Bin Teck 1988 - 1993

Puan Rashidah bt. Abdullah 1993 - 1996

Puan Saripah bt. Kasim 1996 - 1998

Puan Rokiah bt Mohd. Said 1998 – 2002

Cik Katherine Tan Teck Neo 2003 hingga kini

No comments: